Thursday, July 23, 2009

SEJARAH telah mengajar kita...

Setelah mengalami kepungan berbulan-bulan akhirnya bandar Cordoba Spanyol telah ditawan dan jatuh dalam penguasaan pihak musuh. Penduduknya tidak mampu lagi bertahan dengan kepungan terlalu lama. Segala bekalan telah hampir kehabisan, mereka terpaksa menahan lapar dan bekalan ubat-ubatan juga habis.

Bandar Cordoba dahulunya menjadi mercu tanda keagungan kekuasaan Islam dan pusat pentadbiran utama Islam di Eropah. Kini bandar itu telah jatuh ke tangan Raja Kristian, kejatuhan kali ini agak berlainan dengan kejatuhan sebelumnya, kini umat Islam keluar dari Cordoba dengan lambaian terakhir. Penduduk Cordoba tiada pilihan lain kecuali membuat perjanjian damai dengan pihak Kristian. Para Paderi pula mahukan semua umat Islam dibunuh, tetapi Raja Fernando III membenarkan umat Islam berundur kerana mahu memiliki harta benda yang amat bernilai di Cardoba. Raja itu bimbang harta mereka akan dibakar jika mereka dibunuh.

Sebaik sahaja bandar itu jatuh ke tangan pihak Kristian, perkara pertama yang dilakukan oleh Raja Fernando ialah menukarkan Masjid Agong Cordoba menjadi gereja secara rasminya. Telah sekian lama mereka mengimpikan bandar Cordoba yang agung itu. Begitulah kebiasaan mereka jika menakluki kawasan Islam, masjid akan dimusnahkan atau ditukarkan menjadi gereja. Berlainan dengan tentera Islam apabila menguasai musuh, tiada gereja yang dimusnah atau ditukar menjadi masjid, melainkan jika ianya disepakati oleh orang Kristian untuk menjualnya kepada orang Islam.

Harta yang menjadi buruan dan kegilaan orang Islam Cordoba sebelum ini sehingga sanggup meninggalkan tugas jihat dan berpecah sesama saudara seIslam, akhirnya ditinggalkan begitu sahaja untuk dinikmati dan menjadi santapan musuh mereka iaitu Kristian. Pangkat dan kuasa yang mereka rebuti kini hanya tinggal kenangan sahaja. Apabila negara telah dijajah apa lagi yang boleh mereka nikmati kecuali kehinaan dan perhambaan.
Bandar Cordoba yang telah menjadi mercu tanda keagungan Islam di Spanyol telah jatuh buat selamanya kepada orang Kristian. Cordoba yang telah melahirkan ramai ulamak dan cendikiawan terbilang dalam pelbagai bidang ilmu, di zaman pemerintahan al-Nasir bandar itu telah menjadi pusat pengembangan ilmu dan amat dikagumi si seluruh Eropah. Semua itu tinggal kenangan dalam lipatan sejarah.
Keadaan umat Islam di Spanyol makin terancam, hari demi hari kegemilangan yang dibina beratus tahun kini makin musnah dan tinggal kenangan, musuh yang dulu berpura-pura menjadi kawan kini menyerang dari segenap penjuru. Tetapi yang menjadi peliknya ialah umat Islam di Spanyol seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa, bukan itu sahaja malahan mereka tetap berbalah dan bermusuhan sesama mereka sendiri. Mereka masih mengejar pangkat, harta dan jawatan.
Sifat dengki sesama sendiri, prasangka dan segala sifat negatif bersemarak dalam jiwa orang-orang Islam Spanyol. Hati mereka seolah-olah telah buta dengan apa yang berlaku, tanpa mengambil pengajaran. Apakah yang mereka dapat banggakan dengan pangkat dan harta jika agama dan negara telah tergadai.

WR: Petikan dari Buku Kerajaan Islam Spanyol: Serupakah Nasib Kita?

No comments:

Post a Comment