Monday, June 1, 2009

YB Mansor ADUN Penanti

Penanti semalam mendapat seorang lagi wakilrakyat baru yang kedua dalam penggal pilihanraya ke 12. Perkara ini berlaku setelah penyandangnya "meletak jawatan". Pilihanraya kecil yang paling menarik dijalankan dan bersejarah kerana pertama kali jumlah pengundi yang keluar mengundi hanya lah 46.15 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar.
Walaupun calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mansor Othman hanya bertanding dengan tiga calon Bebas yang lain, beliau hanya mampu memperoleh undi sebanyak 6,052 sahaja.
Jumlah itu berkurangan sebanyak 1,294 berbanding undi yang diperoleh oleh calon PKR Mohammad Fairus Khairuddin pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu iaitu 7,346 undi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengesahkan peratusan tersebut jauh lebih rendah dan rekod paling buruk dalam sejarah pilihan raya di negara ini. Keputusan pilihan raya tersebut juga jelas menunjukkan sebahagian besar pengundi tidak mahu keluar mengundi kerana tidak bersetuju dengan cara pilihan raya itu diadakan hanya semata-mata kerana mahu menyelesaikan masalah dalaman PKR.
Walau apa pun, keputusan telah dibuat oleh sebahagian rakyat untuk memilih Mansor sebagai wakilrakyat maka menjadi tugas dan tanggungjawab beliau untuk melaksanakan amanah rakyat dengan sebaiknya. Lim Guan Eng sendiri telah mengumumkan bahawa akan melantik Mansor sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dalam kerajaan campuran Pulau Pinang.
Oleh yang demikian, rakyat tidak mahu pisang berbuah dua kali, semasa Fairus menjadi ADUN Penanti dan TKM dahulu beliau sering tidak mengambil peduli tentang rakyat walaupun beliau adalah anak tampatan Penanti. Alasannya sibuk di pejabat mejalankan tugas sebagai TKM. Perkara yang sama boleh berulang, tambahan pula Mansor bukanlah anak tempatan dan tidak pernah mengetahui selok belok kawasan Penanti. Jika dalam kempen-kempen PRK baru-baru ini saudara dan PKR menabur janji-janji yang manis belaka, maka perkara yang manis jua lah yang saudara kena realisasikan. Selesaikan masalah perbandaran yang semakin buruk di Penanti, selesaikan masalah pendatang tanpa izin yang semakin membanjiri kawasan tersebut supaya rakyat tidak hidup dalam ketakutan dirompak dan rumah mereka dipecah masuk.
Saya mendoakan YB Mansor akan menjalankan amanah yang diberikan walaupun oleh pengundi-pengundi yang terdiri dari orang PKR, tetapi anda menjadi wakilrakyat kepada semua. Berkhidmatlah dengan cemerlang.

No comments:

Post a Comment