Monday, October 12, 2009

Kefahaman Kedaulatan Bukan Hanya Slogan

Kefahaman mengenai kedaulatan negara semakin luntur apabila perlembagaan negara dan keluhuran undang-undang hanya dianggap sebagai "slogan" dan bukannya prinsip untuk hidup sebagai rakyat bernegara.
Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia, Tun Dato' Seri Dr. Ahmad Fairuz Dato' Sheikh Abdul Halim berkata, kefahaman mengenai kedaulatan negara mesti difikir secara serius oleh semua pihak kerana ia amat penting untuk negara.
Beliau berkata, pada hakikatnya, kejayaan dan kemakmuran negara ini sepanjang 52 tahun merdeka adalah hasil sumbangan serta dokongan semua kaum dan semua lapisan masyarakat. "Kita jangan lupa tentang keunikan yang kita miliki ini. Negara yang lebih dahulu merdeka daripada kita pun tidak mencapai kejayaan seperti yang kita nikmati sekarang. "Sebab itu kita perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap anasir-anasir yang sengaja dan berusaha untuk memecah belahkan perpaduan masyarakat majmuk negara ini.
"Formula perpaduan kaum yang diamalkan di negara ini adalah menjadi rahsia kekuatan dan kejayaan Malaysia. Mahu tidak mahu, hakikatnya baik Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta orang Cina, India dan kaum-kaum lain, inilah tanah air kita," katanya. Ahmad Fairuz berkata, sudah menjadi bukti sejarah bahawa negara ini telah berjaya membentuk keharmonian kaum melalui usaha liberalisasi antara kaum khusus tindakan toleransi dan persefahaman dalam politik, ekonomi dan budaya.
"Misalnya, tindakan pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman membenarkan konsep Jus Soli dilaksanakan sebagai asas kewarganegaraan pada 1957 kepada masyarakat Cina dan India adalah satu liberalisasi yang sangat besar ertinya. "Tindakan beliau bukan sahaja tidak popular malah telah mendapat tentangan ramai pemimpin orang Melayu ketika itu. Tetapi, hasilnya kita seluruh rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman pada hari ini," katanya.
Selain itu, katanya kesanggupan pemimpin bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan menerima baik konsep hak dan keistimewaan Bumiputera, kedudukan agama Islam, bahasa dan status raja-raja Melayu juga merupakan satu toleransi yang telah menjayakan kehidupan bermasyarakat di negara ini. "Itulah tahap pertama liberalisasi dan toleransi terlaksana secara berstruktur di negara ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen Ke-22 Sidang ke-2 Universiti Utara Malaysia (UUM)
Beliau berkata, apabila migrasi penduduk Melayu ke bandar besar bermula pada era 1970-an menjadi matang sekarang, masyarakat Melayu dan bukan Melayu tidak lagi hidup seperti mana pada zaman penjajahan, terpisah antara satu sama lain dan kini mereka berjiran, bekerja dan berekreasi di ruang yang sama.
Ahmad Fairuz berkata, dalam suasana hubungan kaum yang sebelum ini aman tetapi kini diasak dengan tindakan provokasi dan tuduhan melampau demi kepentingan kaum masing-masing, elok kita sama-sama renung dan fikirkan apa akan kita lakukan selepas ini. "Dengan demikian sesungguhnya, perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah adalah sebagai sumber kekuatan bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan.
"Oleh itu, saya juga mahu golongan mahasiswa menggunakan kewarasan berfikir dalam menapis maklumat berhubung sesuatu isu yang timbul di negara ini. "Saya tekankan perkataan-perkataan "kewarasan berfikir" dan "menapis maklumat" kerana tidak mahu diganggu gugat oleh orang lain.
"Mahasiswa mesti berpegang teguh kepada prinsip kejujuran dan daya intelektual supaya mereka tidak terjerumus dalam budaya memfitnah," ujarnya. "Bagi saya segala perkataan-perkataan yang saya tekankan itu adalah amat berisi dan mendalam pengertiannya kerana hari ini masyarakat mudah berubah apabila mempercayai budaya fitnah," katanya.

No comments:

Post a Comment