Friday, October 16, 2009

Operasi pemutihan gunting dalam lipatan, duri dalam daging.

Ketua UMNO Bahagian Batu Yahaya Mat Ghani dalam ucapan perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO di perhimpunan parti itu, mengesa kerajaan BN supaya melaksanakan operasi pemutihan dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) bagi membersihkan pegawai dan kakitangan yang secara tertutup dan terbuka menyokong pakatan pembangkang.

Wakil UMNO Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan segera perlu dilakukan kerana situasi pada masa ini amat serius kerana terdapat sesetengah pegawai tertinggi GLC yang membenarkan pemimpin parti pembangkang berceramah dalam premis mereka.

“Operasi pemutihan perlu segera dilaksanakan, beri peluang kepada kalangan ahli UMNO yang setia dan mempunyai kelayakan untuk menerajui GLC,” katanya.
Ulasan WR: memang menarik saranan dan gesaan Yahaya Mat Ghani itu, sebenarnya golongan yang berkhidmat dan makan gaji dengan GLC ini menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan yang boleh merobohkan apa yang telah dibina oleh kerajaan BN.
Jika tindakan mereka menjemput pemimpin pembangkang untuk berceramah di pejabat GLC sudah dipandang serius, tetapi yang lebih parah lagi mereka yang berpendapatan lumayan dalam GLC menjadi penyumbang dana kepada aktiviti parti pembangkang. Ada antara mereka yang WR kenali telah menyumbang sebanyak RM10,000.00 kepada PAS di kampung WR untuk dana membina markas PAS.
WR selalu membangkitkan isu bukan sekadar pegawai GLC terlibat secara langsung dalam parti pembangkang terutamanya PAS, tetapi juga yang selalu dibangkitkan oleh WR ialah semakin ramai kakitangan awam kerajaan BN yang menyokong PAS. Suatu yang amat bahaya apabila mereka inilah yang membocorkan rahsia kerajaan dan mensabotaj dasar-dasar rakyat kepada rakyat sehingga menimbulkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.
Ambil contoh yang paling signifikan, bagaimana pegawai SPR Pulau Pinang yang merupakan orang kuat PAS telah menyalahguna kuasa dengan menukarkan ahli-ahli PAS dari kawasan sekitar utara ke Parlimen Permatang Pauh khususnya DUN Permatang Pasir. Lebih menarik pegawai paling kanan dalam SPR Pulau Pinang merupakan suami kepada pimpinan utama dalam muslimat PAS Pulau Pinang.
Itu sebahagian yang kita tahu, bagaimana pula dengan Pegawai Kanan yang bergred DG52 di IPGM Kampus Tuanku Bainun yang merupakan penyokong totok serta penyumbang kewangan kepada PAS. Bagaimana pula dengan pegawai hal ehwal pelajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang menjadi juru kempen kepada PAS dalam PRK Bukit Gantang sedangkan dia tidak hadir bekerja dengan alasan cuti sakit (MC).
Seharusnya kerajaan memandang serius fenomena ini, sebenarnya kerajaan BN sendiri yang membawa virus kepada badannya sendiri,menggajikan mereka yang menentangnya dari dalam. Proses pengambilan kakitangan awam perlu diperkemaskan dengan memastikan mereka yang akan menjadi penemuduga dan yang ditemuduga adalah mereka yang merupakan penyokong kerajaan. Jika UMNO mempunyai hampir 6 juta ahli sudah tentulah anak-anak merekalah yang perlu diberi keutamaan, termasuk juga dengan anak-anak kepada ahli parti komponen BN.

No comments:

Post a Comment