Saturday, May 16, 2009

Pondok yang panas atau orang yang panas??

SPR tetap melarang diwujudkan pondok panas semasa hari pembuangan undi, walaupun didesak oleh Parti Pembangkang. Tetapi SPR bersetuju sekadar diadakan pondok parti untuk tujuan semakan pendaftaran. Larangan tersebut berdasarkan pengalaman SPR yang pernah membenarkan didirikan "barong", yang akhirnya menjadi tempat berkempen parti-parti yang bertanding.

Jika dilihat negara telah mengalami pilihanraya sebanyak 12 kali sepanjang 52 tahun, dan rakyat memang sudah tahu bahawa negara ini mengamalkan sistem demokrasi, yang memerlukan rakyat turun mengundi setiap 5 tahun sekali. Walaupun SPR telah memperkenalkan atau memajukan pelbagai sistem baru dalam proses PRU ini, tetapi kelihatan masih ketinggalan zaman dan tidak seiring dengan pemikiran rakyat yang sudah berpendidikan tinggi.

Sepatutnya proses pilihanraya sudah berubah, saya berasa hairan mengapa diperlukan parti-parti yang bertanding mongotorkan alam sekitar dengan tempelan-tempelan poster dan gantungan-gantungan bendera? Adakah bertujuan untuk memberi tahu rakyat bahawa inilah lambang parti kami,ingat lambang parti kami. Saya rasa ramai pengundi sudah mengenali lambang parti yang bertanding ini, terutamanya oleh generasi muda yang rata-rata berpendidikan, kerana mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab. Amalan itu hanya sekadar untuk kemeriahan sahaja dan sebenarnya tidak memberi kesan pun kepada pengundi.

SPR telah menetapkan kempen hanya boleh dijalankan sehingga jam 12 malam sebelum hari pembuangan undi, kalau berkempen lagi itu satu kesalahan. Aturan itu sudah baik, tetapi kenapa pada hari pembuangan undi masih lagi terdapat kempen di tempat pembuangan undi? Seharusnya petugas parti tidak dibenarkan berada di kawasan tersebut dan kempen juga tidak boleh dibenarkan. Kalau pengundi mahu menyemak pendaftaran, SPR boleh menyediakan kemudahan tersebut. Biarlah hari pembuangan undi ini bebas dari kempen dan petugas parti, biar SPR sahaja yang buat kerja.
Kita lihat bagaimana dengan PRK Permatang Pauh, ada berberapa Pusat mengundi (PU) yang sesak dengan penyokong parti, jalan raya juga sesak dengan kenderaan parti, berlaku ejek mengejek, provokasi dan sebagainya yang menyebabkan pengundi malas dan takut untuk keluar mengundi. Perkara begini sepatutnya di zaman moden ini sudah tidak wujud lagi. Saya berharap perkara ini perlu diambil serius oleh SPR, jangan terlalu melayan parti pembangkang yang sengaja mencari peluang untuk meraih keuntungan. WR

No comments:

Post a Comment