Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semasa pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas ke-55 di Stadium Malawati baru-baru ini mempertahankan ideanya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara.
Bagaimanapun katanya, gagasan itu perlu melalui proses perbincangan secara terperinci oleh pelbagai pihak dan tidak perlu dilaksanakan secara tergopoh gapah kerana ia suatu yang baru di kalangan rakyat.
‘‘Ia perlu difahami secara terperinci supaya kita dapat melaksanakannya dengan baik, gagasan tersebut adalah untuk kebaikan kita semua yang sekarang begitu rapuh dari segi perpaduan.
‘‘Terpulang kepada maklum balas parti-parti politik tetapi ia mesti diteliti dengan perbincangan yang mendalam kerana saya percaya ia dapat menyelesaikan masalah negara,” katanya.
Selepas membuat kenyataan tersebut, pelbagai reaksi yang dilihat baik dari pihak pimpinan PAS sendiri ataupun dari pihak Barisan Nasional khususnya UMNO dan tidak ketinggalan kedengaran juga dari Pakatan Pembangkang. Dalam PAS sendiri ada yang menyokong contohnya PAS Perlis dan juga Dewan Pemuda PAS, tidak kurang yang menentang dan yang paling kuat menentang idea tersebut tentulah Mursyidul Am PAS dan disertai oleh DAP yang semakin galak merencanakan menumbangkan UMNO setiap hari.
Idea Presiden PAS itu jika dilihat secara positif akan membawa keuntungan kepada orang Melayum jika pemimpin dari UMNO dan PAS betul-betul ikhlas untuk mengutamakan kepentingan rakyat. Pelbagai perkara yang dapat diselesaikan baik dalam politik orang Melayu yang semakin gawat ini ataupun dalam soal ekonomi serta hubungan sosial-masyarakat. Ramai orang Melayu yang memberi reaksi positif dengan idea ini kerana mereka sudah letih melihat perpecahan orang Melayu tambahan pula jika dilihat akan menguntungkan kaum lain.
Entah apa dosa dengan idea tersebut, maka ia menjadi Mursyidul Am PAS berasa tidak senang duduk dan menentang muktamad cadangan Presiden PAS. Pelbagai persoalan yang timbul akibat dengan tindakan Mursyidul Am itu:
1. Siapa yang lebih berkuasa dalam PAS, Presiden atau Mursyidul Am?
2. Mengapa Mursyidul Am begitu menentang idea Presiden PAS?
3. Bagaimana DAP boleh bersetuju dengan Mursyidul Am yang selama ini mereka tentang.
4. Mengapa Mursyidul Am sehingga sanggup menumpahkan darah demi menentang idea Presiden?
Hari ini, Timbalan Presiden pula yang ditempelak oleh Mursyidul Am, sehingga disuruh letak jawatan hanya bila beliau bercakap soal kerajaan perpaduan. Dan bila Timbalan Preseiden ditempelak, calon Timbalan Presiden yang kalah juga turut tumpang sekaki menempeleng siangannya itu. Biasa lah orang kalah akan sentiasa memburukkan lawannya. Apakah perpecahan sedang berlaku dalam PAS?
Tambah buruk dari itu, di Manek Urai yang akan menghadapi PRK tidak lama lagi, telah diarahkan oleh Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS negeri, Nasir Daud supaya poster Presiden PAS tidak dinaikkan sebaliknya melebihkan poster Mursyidul Am sebagai sebahagian strategi "melokalisasi" kempen tersebut. Kata Nasir Daud lagi "Ia bertujuan melokalisasi (strategi) kempen pilihanraya kecil ini. Ini lawan kepada (pendekatan) Umno yang kita tahu akan cuba menasionalkannya. "Ini pilihanraya tempatan (negeri).” Ketiadaan poster Abdul Hadi - yang selalunya dinaikkan bersama Nik Aziz - menimbulkan spekulasi bahawa dua tokoh atasan PAS ini tidak lagi sealiran, khususnya dalam isu kerajaan perpaduan. Bagaimanapun PAS Kelantan menafikan tindakan tersebut ada kaitan dengan isu kerajaan perpaduan - yang hangat diperkatakan dan memberi gambaran dua tokoh sedang bergeser.“Ia tidak ada kaitan langsung dengan isu kerajaan perpaduan. Ini (hal) pilihanraya kecil,” kata Nasir sambil menyifatkan perkara itu sebagai “geder” atau khabar angin.
Senyap-senyap, maklumat juga terdengar bahawa PAS Negeri Kelantan, berberapa pemimpin utama PAS tidak dialu-alukan turun ke Manek Urai antaranya ahli jawatankuasa PAS pusat Abu Bakar Chik. Dikatakan, termasuk dalam senarai itu ialah Abdul Hadi, timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali.
Episod ini, nampaknya menjadi cabaran buat PAS kini yang berhadapan dengan krisis kepercayaan dalam Pakatan Pembangkang. Adakah idea dan kehendak Presiden PAS itu akan terus diterima atau diperjuangankan oleh ahli-ahli PAS yang lain?