Tuesday, November 3, 2009

RASUAH: AHLI PARLIMEN SABAK BERNAM ANTARA YANG AKAN DIDAKWA?

Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri (BN) dan pembantunya Ramli Busro akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kira-kira pukul 8.30 pagi nanti.

Mereka adalah antara lima orang yang diseret ke muka pengadilan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melancarkan pendakwaan besar-besaran terhadap ahli politik dan pembantu mereka di Selangor berhubung kesalahan rasuah.
Menurut kenyataan SPRM Ahli Parlimen dan pembantunya itu ditangkap atas kesalahan mengemukakan invois-invois yang mengandungi butiran palsu semasa menjadi ADUN Selangor.
Berikut kenyataan penuh SPRM:

Bekas ADUN dan pembantu ditangkap SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menangkap seorang bekas ADUN dan pembantunya atas kesalahan di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.
Bekas ADUN tersebut yang kini seorang Ahli Parlimen ditangkap atas kesalahan mengemukakan invois-invois yang mengandungi butiran matan palsu semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi melaksanakan satu program yang tidak dijalankan. Manakala itu, pembantu beliau ditangkap atas kesalahan bersubahat dengan bekas ADUN berkenaan dalam membuat tuntutan bagi program yang sama.
Kedua-dua mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi 3 November 2009 (esok).


Bekas pegawai MB Selangor ditangkap SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menangkap seorang bekas Pegawai Menteri Besar Selangor pada 2 November 2009 atas kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
Beliau ditangkap kerana disyaki menipu dan memperdayakan seorang presiden sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Negeri Selangor bagi tujuan pembiayaan sebuah majlis anjuran Kerajaan Negeri berkenaan. Nilai yang terlibat adalah sebanyak RM50,000.00.
Beliau akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi 3 November 2009 (esok).


Pembantu khas exco Selangor dituduh SPRM (Wong Chuan How)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menuduh seorang pembantu khas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 dan Kanun Keseksaan.
Beliau akan dituduh atas kesalahan mengemukakan invois yang mengandungi butiran matan palsu kepada Pejabat Daerah Sepang bagi membekalkan barangan sempena program Hari Kemerdekaan tahun 2008 yang mana tidak dibekalkan. Beliau juga akan dituduh di atas dua (2) kesalahan pecah jenayah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan kes ini akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi 3 November 2009 (esok).


Pengarah syarikat dituduh membuat tuntutan palsu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor akan menuduh seorang pengarah syarikat atas kesalahan di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.
Beliau akan dituduh atas kesalahan mengemukakan invois-invois yang mengandungi butiran matan palsu kepada Pejabat Daerah Hulu Langat bagi membekalkan barangan dan keperluan bagi program-program di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Selangor pada tahun lepas sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.
Pertuduhan kes ini akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi 3 November 2009 (esok).
WR: Tidak kira siapa mereka, jika mereka melakukan kesalahan atau menggunakan kedudukan serta kuasa yang ada untuk mendapat keuntungan peribadi, untuk mengkaya diri, itu adalah satu kesalahan yang paling besar serta dosa, tambahan mereka yang bergelar wakilrakyat, kerana mereka telah melakukan pecah amanah.
Harap pihak berkuasa seperti SPRM akan melakukan siasatan terperinci dan mendakwa serta dijatuhkan hukuman yang berat kepada pesalah rasuah ini. Jangan sampai negara ini menjadi tempat membiaknya gejala rasuah yang bakal menjatuhkan imej dan merobohkan tamadun yang telah kita bina.