Friday, September 11, 2009

Samy oh Samy, bila nak STOP!


Samy Vellu perlu berundur diri, di bawah ni pandangan orang India yang telah berjaya dalam zaman Samy Vellu.

"Protes terhadap Samy Vellu telah menyebabkan masyarakat India berpecah teruk dengan menyertai 10 buah parti dan kumpulan"
*PROF. MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM

"Samy Vellu sudah mencapai tahap tepu yang tidak mempercayai orang sendiri untuk menerajui parti"
*DR. SARJIT SINGH GILL
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia UPM

"Samy Vellu perlu berundur kerana jika tidak BN dibimbangi akan kehilangan undi pengundi India.Sebenarnya masyarakat India bukan tidak suka MIC atau BN tetapi kerana menolak Samy Vellu"
*DATUK VYRAN T. RAJ
Wakil NGO

"Samy Vellu yang terlalu lama menerajui MIC tidak sepatutnya terus mengekalkan pendekatan autokrasi dalam parti itu"
*PROF. DR. MOHAMED MUSTAFA ISHAK
Pensyarah Pengajian Antarabangsa UUM

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu perlu berundur secara terhormat daripada terus kekal menerajui parti itu dan dengan penuh bertanggungjawab membiarkan ahli peringkat akar umbi memilih pemimpin terbaik secara demokrasi.

Ini kerana, tindakan berterusan beliau mahu mengekalkan penguasaan bukan sahaja boleh menjadi liabiliti kepada MIC tetapi turut menjejaskan kredibiliti Barisan Nasional (BN).
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berpendapat bahawa punca utama masyarakat India menolak MIC dan BN adalah kerana menolak kepimpinan Samy Vellu.

Katanya, Samy Vellu tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa untuk mengekalkan pengaruh tanpa mengambil kira pengajaran yang ditunjukkan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Keadaan itu, katanya, telah menyebabkan masyarakat India seperti dalam keadaan tiada hala tuju kerana pemimpin mereka masih tidak berubah dan kekal berada pada takuk lama.

Sivamurugan berkata, protes terhadap Samy Vellu telah menyebabkan masyarakat India berpecah teruk dengan menyertai lebih 10 buah parti dan kumpulan seperti Gerakan, Parti Progresif Penduduk (PPP), Barisan Progresif India (IPF), Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Makkal Sakti Malaysia dan kelab penyokong Pas serta pertubuhan haram Hindraf.

‘‘Samy Vellu perlu memberi peluang kepada generasi pelapis mengambil alih parti dan jangan tunggu sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kerana ia sudah terlambat bagi MIC dan BN,” tegas beliau.

Pemilihan MIC yang diadakan pada Sabtu ini akan menyaksikan perebutan kerusi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC).
Seramai tiga calon iaitu penyandangnya, Datuk G. Palanivel, Subramaniam dan Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan akan bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden, tujuh calon bagi tiga kerusi naib presiden dan 65 calon merebut 23 kerusi CWC.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Sarjit Singh Gill berkata, kewujudan budaya peras ugut, kekecohan dalam proses pemilihan dan amaran supaya parti komponen lain tidak mencampuri urusan MIC adalah bukti jelas parti itu menolak semangat setiakawan.

Katanya, suara akar umbi paling penting dalam sebuah parti yang membawa suara masyarakat dan pendekatan menjadikan parti tersebut seperti milik individu perlu ditolak sekeras-kerasnya.
‘‘Samy Vellu sudah mencapai tahap tepu yang tidak mempercayai orang sendiri untuk menerajui parti. Mungkin kerana keupayaan bakal pengganti belum lagi teruji tetapi bagaimana hendak dibuktikan jika peluang langsung tidak diberikan?

Dalam pada itu, wakil masyarakat India dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Datuk Vyran T. Raj berkata, walaupun negara telah mencapai kemerdekaan 52 tahun lalu tetapi masyarakat India masih tidak bebas dalam erti kata sebenar kerana dibelenggu oleh telunjuk Samy Vellu.

Justeru, katanya, Samy Vellu perlu berundur kerana jika tidak BN dibimbangi akan kehilangan undi daripada kira-kira 20 peratus pengundi India pada Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang nanti.
‘‘Sebenarnya masyarakat India bukan tidak suka MIC atau BN tetapi kerana tolak Samy Vellu.
‘‘Kami amat berharap Najib campur tangan menyelamatkan MIC dan masyarakat India. Gantung parti atau buatlah apa sahaja demi untuk kebaikan semua pihak, kena tegas biar Samy Vellu uruskan dengan betul ‘rumahnya’ sebelum diterima memasuki kembali BN,’’ katanya.

Penganalisis politik yang juga pensyarah pengajian antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Samy Vellu yang terlalu lama menerajui MIC tidak sepatutnya terus mengekalkan pendekatan autokrasi dalam menentukan hala tuju parti itu.

Sepatutnya, jelas beliau, presiden parti politik paling lama di Malaysia itu mengambil iktibar daripada tsunami politik pada Mac tahun lalu dengan membuat perubahan drastik dan memberi tempat kepada kalangan pemimpin muda.
Menurutnya, tempoh setahun lebih itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh MIC untuk menarik kembali sokongan masyarakat India dan bukannya membiarkan kumpulan itu terus berpecah-belah.

‘‘Samy Vellu perlu membenarkan proses demokrasi mengambil tempat. Dia tidak boleh tentukan segalanya secara ‘one man show’ kerana tidak semestinya ia sesuai dengan kehendak akar umbi. Pendekatan ini bukan caranya menguruskan sebuah parti.

‘‘Apa yang presiden suka, belum tentu disukai oleh ahli. MIC tidak boleh diurus dengan selera beliau tetapi kena ikut selera ahli, jangan sesekali paksa selera anda kepada orang lain.
‘‘Sepanjang MIC dipimpin oleh Samy Vellu, proses demokrasi telah berkubur. Beliau kena bersikap jujur kepada masyarakat India kerana parti itu milik semua dan bukannya hak mutlak individu,” katanya kepada ketika dihubungi di sini hari ini.

Tuesday, September 8, 2009

Lina Joy Boleh Murtad - Anwar Ibrahim

Sila klik pada url ini untuk menyaksikan video kenyataan Anwar Ibrahim:

http://www.youtube.com/watch?v=TJKtq-2hrMw

Buatlah pertimbangan dan fikirlah..........