Friday, April 9, 2010

Pastikan Islam kekal agama Persekutuan

Persatuan Peguam Muslim Malaysia mahu kerajaan memastikan peranan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama yang diumumkan penubuhannya kelmarin mengambil kira Islam sebagai agama Persekutuan.
Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, justeru pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu tidak boleh sesekali mahu menyamakan hak semua agama kerana Islam punya kedudukan istimewa di sisi Perlembagaan.
Kata beliau, ini supaya jawatankuasa tersebut tidak menjadi jalan keluar kepada kegagalan menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang ditolak kerajaan dan umat Islam sebelum ini.

‘‘Bagaimanapun umat Islam tidak menolak sebarang dialog bagi memupuk persefahaman dan keharmonian antara agama yang ada di negara ini.

‘‘Namun yang menjadi masalah ialah usaha dialog seumpama itu disalah guna bagi mencampuri urusan agama lain seperti IFC dan ini perlu dipastikan kerajaan tidak berlaku pada jawatankuasa tersebut,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainul juga berharap jawatankuasa itu akan menjadi dialog yang mampu mengukuhkan perpaduan seluruh rakyat negara ini.

Justeru katanya, untuk mencapai hasrat tersebut, jawatankuasa berkenaan harus dipastikan bergerak dalam landasan menghormati kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan.
‘‘Kita tolak IFC sebab ia usaha untuk ubah dialog ‘inter agama’ kepada ‘intra agama’. Itu yang umat Islam tak boleh terima,’’ katanya.

Tambahnya, dialog antara agama bukanlah sesuatu yang baru kepada umat Islam sebaliknya ia telah lama wujud di negara yang berbilang kaum.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Datuk Muhamad Burok berkata, sekiranya jawatankuasa khas itu berjaya diadakan, ia mestilah bersifat bebas tanpa perlu wujud campur tangan pihak tertentu khususnya daripada parti politik.

Sehubungan itu katanya, jawatankuasa itu perlu dipimpin oleh mereka yang benar-benar pakar agar kredibiliti dan peranannya sebagai badan yang mewujudkan persefahaman di antara agama-agama diyakini dan diiktiraf oleh rakyat.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Isa Abdul Ralip berkata, jawatankuasa itu wajar diwujudkan untuk menyelesaikan masalah berkaitan agama namun ia perlu dilarang sama sekali mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Justeru katanya, jawatankuasa itu perlu dipantau agar tujuan penubuhannya tidak lari daripada landasan yang ditetapkan.

“Sekadar dialog tiada masalah namun sekiranya ia dijadikan medan untuk memperjuangkan kesamarataan antara agama, ini yang perlu dihalang,” katanya.
sumber: utusanonline.