Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera kepada semua.
Menjadi penulis blog ini memerlukan komitmen yang tinggi untuk memastikan pembaca terus setia menjadi pengikut. Tapi kalau sehari tiada pos baru, mungkin pembaca akan berkunjung semula hari kemudiannya, tapi kalau hari seterusnya pun tiada pos baru dengan isu yang menarik, kemungkinan besar pembaca akan melupakan kita. Begitu juga dengan WR, rasanya dah hampir 2 minggu tidak menulis apa-apa artikel, maka banyaklah email yang diterima bertanyakan apa yang sudah jadi kepada WR. Sebenarnya WR tetap hidup cuma masa tidak mencukupi untuk menulis lantaran kesibukkan urusan dunia dan akhirat.
Dalam sebulan ini pelbagai peristiwa yang berlaku tanpa mendapat apa-apa komen dan ulasan dari WR, antaranya isu penangkapan bekas Mufti Perlis yang mendapat perhatian masyarakat dan paling menarik semua pihak baik dari pro kerajaan atau pihak pembangkang. Walaupun JAIS adalah di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang dikuasai oleh PKR,DAP dan PAS, pemimpin mereka tetap mengutuk tindakan JAIS ini. Jadi timbul persoalan siapa yang mengeluarkan arahan penangkapan ini? Pelbagai persoalan yang timbul dibenak masyarakat, ini termasuklah bila hari pembicaraan kes bekas mufti itu, beliau ditemani oleh bekas MB Perlis Datuk Seri Sahidan Kassim.
Nampaknya semua pihak mahu menunjukkan simpati dan bukan angkara mereka Dr. Asri ditangkap, lantaran semua pihak cuba memujuk Dr. Asri untuk menurut perjuangan mereka. Tapi sehingga hari ini Dr. Asri masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti. Bagus lah, jangan cemarkan maruah orang agama dengan kekotoran politik yang menghalalkan cara walaupun politik itu sangat mulia untuk menjaga maruah agama, bangsa dan negara.
Peristiwa besar juga yang menarik perhatian umum, khususnya masyarakat cina ialah kemelut kepimpinan MCA yang makin kusut dan kalut. Ini lah akibat bila politiking diutamakan, rakyat dikesampingkan. Krisis MCA ini lebih dilihat sebagai ego pemimpin, yang lupa diri dan tidak mahu bermuhasabah diri. Mungkin selepas persaraan Tun Abdullah, mereka telah melupakan prinsip Islam Hadhari.
Bagi WR, ada juga kemungkinan krisis MCA ini macam sabotaj atau konspirasi untuk merosakkan gagasan 1Malaysia yang menjadi vaksin penyembuh penyakit keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional. 1Malaysia dilihat dapat memulihkan kepercayaan rakyat kepada BN terutamanya masyarakat Cina dan India, situasi ini akan mengukuhkan semula kekuasaan UMNO dalam BN dan akan terus menguasai kerajaan.
Pada sesetengah masyarakat Cina dan India mereka telah terpengaruh dengan momokan dan dokrtinisasi DAP dan PKR yang menyatakan bahawa MCA dan MIC adalah kuli kepada UMNO dan mereka harus tunduk patuh kepada UMNO sehingga sanggup mengenepikan kepentingan dan kebajikan kaum Cina dan India. Faktor doktrin ini jugalah yang menyebabkan DAP dapat menguasai Pulau Pinang dan berberapa kerusi parlimen dan DUN strategik di negeri-negeri pantai barat.
Doktrin ini kini menjadi suatu yang sudah boleh diterima apabila orang Melayu sendiri dilihat menyokong kepimpinan orang Cina malahan sanggup menjadi rakan dan penyokong kepada apa jua tindakan DAP yang sebelum ini dibimbangi oleh masyarakat Cina bahawa orang Melayu akan berperang jika orang Cina DAP menjadi ketua. Apabila DAP sudah boleh diterima oleh orang Melayu maka, mengapa mereka perlukan UMNO lagi dalam sistem pemerintahan negara, kerana UMNO ini dilihat sebagai parti yang bersifat perkauman dan melebihkan orang Melayu dalam segala dasar pemerintahan.
Jadi untuk merosakkan kekuatan UMNO, BN harus dilemahkan. Bagaimana nak melemahkan BN, dengan mewujudkan krisis dalam parti komponen seperti yang berlaku dalam PPP, MIC dan terbaru MCA.
Orang UMNO, terutamanya pemimipin UMNO harus bangun dari tidur dan tinggalkan tilam empok selesa yang didodoi selama ini dengan bekerja keras untuk memulihkan keyakinan rakyat bahawa UMNO adalah perjuangan kepada rakyat, bukan kelab eksklusif yang hanya untuk golongan elit sahaja.
sampai di sini dulu...esok WR akan menulis semula.
tau tak apa...
ReplyDelete