DALAM Islam, larangan meminum arak adalah untuk memartabatkan kehidupan ummah. Larangan itu dilaksanakan secara bertahap. Peringkat pertama, meminum arak dilarang secara perbandingan dan berunsur sindiran, sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat yang diturunkan di Madinah. Ketika itu, sebuah masyarakat baru Islam sedang dalam proses pembinaan. Surah itu adalah surah al-Baqarah, ayat 219.
Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas .
Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.
Berdasarkan urutan turunnya ayat-ayat itu, jelaslah bahawa Allah tidak membuat larangan secara sekali gus, tetapi berperingkat sesuai dengan tahap dan pembangunan ummah pada ketika itu. Lagi pun, di peringkat akhir, meminum arak pada ketika itu sudah bertukar menjadi satu kebiasaan, bahkan menjadi amalan dan lumrah.
Melihat proses pengharaman arak yang dilakukan secara tadrij (berperingkat), ia menggambarkan Islam mementingkan pendidikan daripada paksaan dan bukannya untuk menunjukkan kuasa mutlak ke atas umatnya atau kaum-kaum lain.
Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan.
Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain. Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.
Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.
Sebelum menghuraikan kesesuaian ini, kita perlu maklum bahawa dalam pemikiran politik pentadbiran Islam, terdapat satu prinsip yang perlu dipatuhi oleh pemimpin apabila mereka ingin memutuskan sesuatu tindakan atau dasar terhadap rakyatnya.
Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).
Berbalik kepada isu arak di Malaysia, para ummah tertanya-tanya apakah hukum ke atas satu pemerintahan yang menghalalkan pengimportan arak dan membenarkan rakyat bukan beragama Islam meminum arak secara berlesen? Begitu juga tentang cukai yang dikenakan ke atas najis tersebut.
Ada pendapat mengatakan cukai itu halal, sekiranya cukai berkenaan bercampur dengan cukai-cukai barangan halal lain. Pendapat ini, seolah-olah menyamakan arak itu dengan air mutanajjis. Air tersebut ialah air yang bercampur antara najis dengan air mutlak dan campurannya pula melebihi dua kolah. Air ini dikira boleh digunakan untuk keperluan bersuci seperti wuduk, mandi dan sebagainya.
Jika inilah kiasannya, maka ia tidak tepat dan tidak sesuai. Ini kerana dalam masalah air mutanajjis ini, air berkenaan benar-benar bercampur dan tidak boleh dipisahkan lagi. Walhal, dalam kes cukai, jumlahnya boleh dipisahkan di antara satu cukai dengan cukai yang lain. Ini bererti pendapatan hasil daripada cukai arak boleh dipisahkan dan dimasukkan ke dalam kumpulan wang yang khusus.
Dalam soal hukum ke atas pemerintahan yang membenarkan pengimportan arak adalah berbeza. Perlu diketahui bahawa mereka yang mengimport arak bukanlah golongan orang Islam. Bagi bukan Islam, meminum arak adalah satu budaya. Sudah pasti mereka akan membawa masuk arak sama ada secara diizinkan oleh pemerintah ataupun tidak.
Jika pemerintah mengizinkan, bererti pemerintah dapat mengawal dan memantau kegiatan membekal, menyimpan, menjual dan meminum arak, selain mendapat hasil daripadanya.
Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.
Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.
Ini adalah satu lagi prinsip yang terdapat dalam usul fikah, yang mengizinkan kewajaran ke atas sesuatu tindakan. Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).
Dalam hal ini, kerajaan Malaysia tidak memberi kebebasan sewenang-wenangnya terhadap arak, baik dari segi iklan atau penjualan kepada rakyatnya. Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak memaksa rakyat bukan Islam meninggalkan budaya minum arak kerana melakukan sesuatu secara paksaan akan hanya mengundang keburukan. Lebih penting daripada itu, kerajaan juga mengambil langkah mendidik warganya supaya jangan terjebak ke dalam lembah judi dan arak.
Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.
Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.
Begitu juga dengan persoalan yang sering diajukan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan membelanjakan wang-wang haram itu. Mereka tidak sedar bahawa Rasulullah sendiri pernah mengambil cukai daripada masyarakat Yahudi Madinah, atau masyarakat zimmi. Sudah pasti wang cukai yang dibayar oleh masyarakat itu bergelumang dengan sumber-sumber yang haram di sisi ajaran dan syariat Islam.
Dalam satu riwayat Imam Bukhari r.a yang dipetik dari Ibnu Umar r.a., ketika Rasulullah membuat perjanjian perdamaian dengan penduduk Khaibar, timbul satu permohonan dari Sayah yang telah meminta harta Huyai. Rasulullah menjawab:
Harta Huyai telah tiada (harta tersebut) telah dibelanjakan untuk keperluan perang.
Dengan itu, adalah jelas Rasulullah pernah menggunakan harta orang Yahudi. Dalam hal itu, individunya ialah Huyai bin Akhthab bin Sayah - bapa mertua Nabi SAW sendiri. Kegunaannya ialah untuk kepentingan negara iaitu perang.
Imam Malik menyebut, tindakan menggunakan harta untuk kepentingan negara sebagai maslahah al-'ammah atau keperluan umum. Hikmahnya adalah jika harta tersebut tidak diambil atau digunakan, harta itu akan jatuh ke satu pihak yang mungkin menggunakannya untuk mencemarkan nama baik negara, menentang kerajaan, atau untuk keperluan yang manfaatnya tidak dapat diperoleh oleh masyarakat umum.
Sumber: Utusan Malaysia, tulisan Mohd. Shauki Abd Majid
Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
No comments:
Post a Comment