Tuesday, June 9, 2009

Kami mahu MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Selatan Thailan, khususnya di Narathiwat sekali lagi berlaku keganasan berdarah, apabila lelaki bersenjata yang menyerang sebuah masjid dan membunuh sekurang-kurangnya 10 orang ketika sedang menunaikan solat di daerah Cho-Airong, Narathiwat pada Isnin malam.

Anggota Parlimen Narathiwat Najmuddin Umar berkata insiden terbabit adalah yang paling buruk pernah berlaku di Selatan Thai.

“Belum pernah berlaku jemaah ditembak dalam masjid. Ini Rumah Allah, ini satu kekejaman dan kerajaan mesti jawab pada rakyat,” katanya ketika dihubungi semasa melawat Kampung Air Paya, lokasi berlakunya insiden itu kira-kira 8 malam semalam.

Ditanya tentang khabar angin bahawa tentera kerajaan terbabit dalam kejadian tembakan itu, Najmuddin berkata terpulang kepada kerajaan untuk menyiasat dan memberitahu perkara sebenar kepada rakyat.

“Orang kampung terlalu takut hendak bersuara. Ada yang kata orang Buddha nak membalas dendam kerana seorang penoreh getah Buddha ditembak mati di kampung berhampiran, kerajaan mesti siasat,” katanya.

Oleh kerana penyerang tersebut menggunakan senjata automatik, menyebabkan penduduk menuding kepada anggota keselamatan iaitu tentera yang bertanggungjawab atas insiden itu. Walaubagaimanapun Ketua Angkatan Tentera Thailand, Anupong Paochinda menafikan bahawa tentera terlibat atau dalang disebalik insiden tersebut.

Penduduk dan ahli Parlimen Narathiwat mahu pihak kerajaan menyiasat secara terperinci insiden itu, kerajaan bertanggungjawab atas kejadian ini.

Krisis di Selatan Thailand bukan perkara baharu, tapi sudah hampir 100 tahun yang dahulu, mengikut fakta sejarah wilayah Selatan Thailand dahulunya adalah milik kerajaan Kesultanan Kedah. Akibat dari persengektaan dan tipu helah British akhirnya Selatan Thai menjadi milik Thailand. Kebanyakkan rakyat selatan Thai adalah orang Melayu Islam.

Akibat dari kesilapan pemerintahan kerajaan Thailand, selatan Thai terus dibiarkan tanpa pembangunan fizikal dan mental. Perasaan rakyat Melayu Islam di sana terus dipinggirkan, sudahlah dipaksa menerima sistem satu Thai dalam banyak aspek termasuklah pendidikan, bahasa, agama dan ekonomi. Sistem pengajian pondok ditindas dan orang Melayu Islam dipaksa belajar di sekolah aliran perdana yang menggunakan bahasa Thailand.

Krisis demi krisis berlaku dan kerajaan Thailand terus menyalahkan orang Melayu Islam dan dianggap sebagai pengganas. Berapa ramai ahli agama Islam yang diburu dan dibunuh semasa pemerintahan Thakshin kerana dianggap penghasut kepada rakyat untuk bangun menentang kerajaan beliau.

Sebenarnya apa yang dikehendaki oleh rakyat Melayu Islam di 4 wilayah Selatan Thailand adalah negara yang merdeka seperti sebelum dimasukkan ke dalam negara Siam dahulu oleh British. Mereka menuntut kemerdekaan tanahair mereka sendiri, dan mempunyai kuasa memerintah sendiri dan membangunkan negara dan rakyat mereka sendiri mengikut kehendak dan acuan mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, kes Selatan Thailand ada persamaan dengan wilayah Islam Filipina iaitu Mindanoa dan berberapa kawasan Borneo. Jika Selatan Thailand menjadi bahan mainan British, Filipina pulak menjadi mangsa Amerika Syarikat. Sebenarnya kedua-dua kes atau negara ini tidak pernah dijajah oleh British atau AS, tetapi oleh kerana tipu muslihat mereka, orang Islam yang menjadi mangsa.


Sekurang-kurangnya tuntutan mereka adalah mendapat autonomi pemerintahan kepada wilayah mereka sendiri, dan dalam masa yang sama masih lagi bernaung di bawah negara induk. Selatan Thailand sebenarnya dulu pernah mendapat kuasa autonomi tetapi tidak bertahan lama apabila berlaku perselisihan faham antara orang Islam dan orang Siam, juga adalah akibat dari konspirasi pihak barat yang tidak mahu terus wujud wilayah Islam satu demi satu. Ini akan menjadi ancaman kepada kuasa barat.


Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, dalam lawatan ke Malaysia 2 hari lalu memfokuskan kepada isu Selatan Thailand dalam perbincangan dengan Dato Seri Najib Tun Razak. Melihat kepada kesungguhan beliau untuk menyelesaikan isu ini dengan memohon bantuan Malaysia merupakan langkah yang amat positif kerana Malaysia jugalah negara yang menjadi orang tengah kepada konflik Filipina dan MORO. Abhisit telah menggariskan berberapa fomula antaranya membangunkan wilayah selatan itu. Formula yang menarik adalah bukan pembangunan material yang mega sebaliknya pembangunan modal insan dan mewujudkan enterprise SME dengan lebih efisyen dan ramai.


Peluang ini seharusnya digunakan oleh Malaysia untuk memastikan orang Melayu Islam di Selatan Thailand mendapatkan hak mereka semula. Malaysia perlu menumpukan usaha dengan bersungguh dalam memastikan wilayah selatan Thai ini aman dan damai, dan yang paling penting institusi pendidikan Islam yang telah berakar umbi di sana diperkasa dan kekal. Kejayaan menguruskan isu selatan Thai ini akan menambat hati orang Melayu Islam di Malaysia sendiri, dan UMNO akan dilihat sebagai penyelamat bangsa Melayu walaupun mereka bukan berada dalam Malaysia.


Nah, jika PAS sudah membuka tangan untuk berunding, isu selatan Thai ini boleh digunakan sebagai permulaan. PAS boleh diberi peranan yang besar untuk memulihkan wilayah yang amat menitik beratkan soal Islam ini. Mungkin tragedi pembunuhan jemaah dalam masjid di Cho-Airong boleh dijadikan titik perpaduan umat Islam di Malaysia. Allah telah membukakan hati Perdana Menteri Thailan untuk menggunakan Malaysia sebagai orang tengah. Maka rebutlah peluang ini.
Kepada saudara seagama dan sebangsa dengan kita yang dibunuh di Cho-Airong kita sedekahkan Surah Al-Fatihah kepada mereka semoga mereka diterima sebagai mujahidin.WR.

2 comments:

  1. Sebuah penulisan yang amat baik. Lengkap dengan fakta, huraian dan cadangan.

    (ujung-ujung, hang pekena PAS jugak no... Tapi itu cadangan yang baik).

    ReplyDelete
  2. tq sdr, sebenarnya ada lagi fakta yang nak dimasukkan, lebih kepada sejarah yang tak pernah kita ketahui dan tidak ada dalam buku sejarah di sekolah kita. Insyaallah kalau dah siap tulisan tu aku akan publish kan.

    (Benda yang tak kena kita kena kata, tapi aku lebih suka kenen bro...)

    ReplyDelete