Kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM30.2 juta untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara asal mereka bagi tempoh 2007 hingga 2009, Dewan Rakyat diberitahu Khamis.Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata jumlah itu digunakan untuk menampung kos pengusiran seramai 154,729 orang Pati.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga terpaksa membelanjakan kos sebanyak RM30 sehari bagi seorang Pati yang ditahan di Depot Imigresen."Kos-kos yang terpaksa ditanggung kerajaan adalah meliputi kos harian dan kos rawatan sahaja. Kos ini tidak termasuk kos perubatan."Manakala, kos bagi urusan pengusiran Pati ke negara asing iaitu udara, laut dan darat pula adalah di bawah tanggungjawab kerajaan," katanya ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) di Parlimen di sini mengenai kos pengendalian Pati yang ditahan dan siapa yang menanggung kos pengembalian ke negara asal mereka.
Mohsin Fadzli juga mahu tahu bilangan Pati yang telah ditahan untuk tahun 2006-2008 mengikut pusat-pusat tahanan dan tempoh seseorang itu ditahan.Abu Seman berkata jumlah keseluruhan bilangan Pati yang ditahan di Depot Imigresen seluruh negara bagi tempoh tersebut ialah seramai 248,939 orang.
Beliau berkata sebelum seseorang Pati itu dihukum dan kemudian diusir ke negara asal, mereka akan ditahan di Depot Tahanan Sementara.Katanya, Pati yang ditahan adalah tertakluk kepada urusan pemeriksaan, identifikasi, siasatan dan dakwaan oleh pegawai-pegawai imigresen."Setelah Pati tersebut disiasat dan dikenakan hukuman (dipenjarakan atau dikompaun atau kedua-duanya sekali), Pati berkaitan kemudiannya akan diusir ke negara asal mereka," katanya.Selain itu, beliau berkata tempoh penahanan seseorang Pati ditahan turut bergantung kepada beberapa faktor lain seperti dokumen perjalanan Pati, tiket kapal terbang dan pengesahan oleh pihak kedutaan.
Dipetik dari BERNAMA
Komen WR: Rasanya budak sekolah asrama pun dibiayai sebanyak RM28 sehari, begitu juga dengan bayaran makanan untuk kanak-kanak tadika kemas RM10 sahaja sehari. Kenapa MP pembangkang sekadar mahu tahu sahaja, mengapa mereka tidak mengambil sesuatu tindakan untuk mengatasi masalah ini? Tidakkan ini juga dinamakan sebagai pembaziran wang rakyat? Adalah dimohon supaya wakilrakyat PAS, DAP dan PKR sama-sama turun membenteras kedatangan PATI terutamanya yang bekerja sebagai GRO di pusat-pusat hiburan yang dilesenkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan.
No comments:
Post a Comment