Monday, December 14, 2009

Terperangkap dalam isu BTN.

Sebulan kebelakangan ini, timbul isu mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Biro Tatanegara rasis dan alat doktrinisasi BN. Sehingga kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan yang terbaharu ialah Kelantan mengharamkan penjawat awam dan pelajar IPT di bawah kerajaan negeri tersebut untuk menyertai semua aktiviti atau kursus yang dianjurkan oleh BTN.
Menjadi kebiasaan di Malaysia, pemanas isu (atau bahasa utara: sebut kaki peqa'ngat) adalah orang politik terutamanya pemimpin parti pembangkang dan akan disambut oleh pemimpin parti kerajaan. Rakyat yang prihatin akan sesuatu isu, juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam perdebatan tersebut. Rakyat yang menyokong kerajaan akan mengatakan program BTN bagus dan memberi manfaat kepada pembangunan masyarakat, tetapi rakyat yang menyokong pembangkang pula akan menyatakan BTN adalah rasis dan alat doktrinisasi Barisan Nasional. Yang menjadi mangsa kekeliruan mana satu yang betul adalah rakyat yang "atas pagar" iaitu mereka yang tidak menyokong mana-mana parti politik.
Tetapi jarang ada rakyat yang cuba melihat sesuatu isu dibangkitkan itu "menuntut sesuatu atau mahukan sesuatu" . Mesti ada sebab mengapa isu BTN ini ditimbulkan dan memang menjadi ucapan ulangan oleh pemimpin DAP iaitu Lim Kit Siang.
Sebab utama, kerana DAP melihat BTN adalah ancaman kepada mereka, kerana walaupun tidak pernah mengikuti kursus BTN, tetapi talibarut mereka (kebanyakkannya orang Melayu juga) yang menceritakan apa yang dilakukan oleh BTN. Mereka menyedari bahawa BTN sedang memberi gambaran sebenar mengenai sejarah Tanah Melayu dan memberi kesedaran tentang Perlembagaan Persekutuan secara terperinci kepada rakyat yang sebelum ini tidak pernah tahu atau ambil tahu, sehingga rakyat tidak pernah tahu apa sebenarnya hak mereka yang telah termaktub. DAP sudah menjadi agendanya untuk memadam fakta sejarah, seperti yang telah dilakukan oleh PAP di Singapura dengan menyatakan bahawa Singapura diasaskan atau dibuka oleh British, bukan orang Melayu.
Namun lebih menariknya dalam isu ini, kerana terlalu ghairah mahu mempertahankan BTN ramai yang terperangkap, terutamanya Blogger-Blogger yang menyokong kerajaan. Pendedahan demi pendedahan dilakukan yang bertujuan menghentam pemimpin pembangkang. Pendedahan terbaharu ialah video ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid semasa menyertai kursus BTN. Satu sudut bagus lah, sebab itu menjadi ibarat "meludah ke langit", tetapi pendedahan ini lebih kepada "meludah ke muka kawan sendiri".
Selepas ini, ramailah rakyat Malaysia "atas pagar" akan menyatakan "oo betul lah BTN ini rasis dan doktrinisasi kerana video itu telah mengesahkan". DSAI atau Khalid boleh menyatakan mereka bercakap sedemikian kerana itu yang diminta oleh BTN.
Lebih menarik TV3 juga masuk perangkap dengan menyiarkan video itu dalam Buletin Utama, 14hb Disember 2009.
Lim Kit Siang dan DAP sedang merayakan kejayaan 1-0 mereka kerana satu lagi institusi kerajaan berjaya dijatuhkan, sebab selepas ini BTN akan dirombak dengan usaha kerajaan dan penyokong mereka.
Entah bila, kita akan sedar akan tujuan sebenar DAP ini, kerana kita jangan lupa apa yang abang mereka iaitu PAP lakukan di Singapura. Lepas ni apa pulak perangkap yang akan dipasang oleh mereka?

No comments:

Post a Comment