Tuesday, December 29, 2009

Politik 2010. Siapa kecundang?

Tinggal beberapa hari lagi, tahun 2009 akan menutup tirainya dan kita akan melangkah ke tahun baru 2010.Sepanjang tahun ini, pelbagai peristiwa suka dan duka mewarnai kehidupan di negara ini.

Awang bersyukur kerana 2009 menyaksikan banyak peningkatan dalam semua bidang terutama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak.
Sokongan terhadap kerajaan yang sebelum ini sesuatu yang dianggap kritikal telah berubah menjadi jauh lebih baik.

Pada masa yang sama, pembangkang berdepan dengan banyak masalah dalaman dan kajian mendapati sokongan terhadap pembangkang termasuk daripada kalangan orang muda, merosot.
Isu-isu politik akan terus menjadi tumpuan pada tahun depan. Barisan Nasional (BN) kini menghadapi isu-isu tertunggak yang perlu diatasi termasuk kemelut MCA dan PPP. Formula terbaik, Presidennya, Ong Tee Keat wajar berundur dan perlu ada barisan kepimpinan baru.
Awang juga berharap kelesuan dalam Gerakan ekoran kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya umum lalu dapat dipulihkan. Tanda-tanda kebangkitan parti itu belum nampak. Timbul persoalan, apa yang Presidennya, Koh Tsu Koon lakukan? Jika beliau tidak agresif, lebih baik berundur dan beri peluang kepada pemimpin pelapis. Yang paling dinantikan ialah peralihan kepimpinan MIC daripada S. Samy Vellu kepada penggantinya. Samy sudah menerajui MIC terlalu lama dan tiada sebab BN perlu berkompromi untuk mengekalkan kedudukannya. Awang percaya tanpa Samy, potensi MIC untuk menarik sokongan masyarakat India jauh lebih besar. Parti itu sendiri harus merasa malu besar jika gagal memastikan peralihan seolah-olah pergantungan mereka kepada Samy terlalu luar biasa.

UMNO seimbas lalu kelihatan kukuh tetapi itu bukan jaminan parti tersebut boleh selesa. Ini kerana keberkesanan kebanyakan bahagian UMNO untuk mendampingi rakyat terutama golongan muda masih di takuk lama.

Desas-desus rombakan kecil bagi jawatan menteri dan timbalan menteri melibatkan beberapa pemimpin UMNO terus berlegar dan mungkin menjadi kenyataan pada tahun baru.
Antara nama yang disebut-sebut akan dilantik ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Kedudukan beliau di luar jawatan kerajaan seperti sekarang memberi kelebihan untuk melonjakkan misi parti. Tetapi jika dilantik, Awang percaya ia langkah yang tepat. Sama ada suka atau tidak, Khairy sememangnya berkebolehan dan boleh menjadi sandaran. Bagi pembangkang, 2009 pasti menjadi tahun yang amat mencabar.
Kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Azlan Bukhari pasti menjadi tumpuan seluruh negara. Berdasarkan petunjuk terbaru, Anwar tidak lagi menerima sokongan padu daripada pembangkang. Sebahagian pemimpin Pas misalnya tidak lagi teruja mempertahankan beliau kerana tidak mahu parti itu terbabit dalam isu moralnya. Taktik beliau asyik menangguhkan kes itu juga mencetuskan persoalan besar semua pihak termasuk pembangkang - mengapa takut?

Perpecahan dalam Pas diramalkan oleh banyak pihak akan 'meletup' tahun depan. Kedudukan Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat makin goyah. Isu menantunya, tajaan haji dan pendirian pro kumpulan Erdogan dan DAP, mengheret beliau kepada kemerosotan sokongan yang belum pernah berlaku selama ini. PKR pula bertungkus lumus untuk membendung kejatuhan sokongan rakyat ekoran pelbagai isu terutama kelemahan dan kepincangan kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid Ibrahim. Keraguan terhadap Naib Presiden, Azmin Ali juga terus memuncak dan yang nyata, pergeseran dalaman PKR kian melemahkan parti tersebut. Dalam pada itu, DAP kelihatan terdesak untuk mengekalkan momentum sokongan kaum Cina dengan memainkan banyak isu perkauman dan hal-hal yang menyentuh Perlembagaan.
Pada Awang, DAP meneruskan rekodnya sebagai parti paling rasis bukan sahaja di Malaysia, malah di dunia.

Tetapi isu lebih kritikal yang melingkari pembangkang ialah kegagalan untuk membina pakatan sebenar kerana bimbang ada parti yang lebih dominan.
Memandangkan begitu banyak kepincangan pembangkang maka strategi mereka ialah memanipulasi isu-isu tertentu termasuk yang terbaru berkaitan kehilangan enjin pesawat TUDM. Awang lega kerana kerajaan komited kepada siasatan penuh untuk menghukum sesiapa yang bersalah.

Apa pun banyak persoalan berlegar terhadap isu politik tahun depan. Apakah pembangkang terutama PKR akan merudum teruk atas segala kepincangan atau sebaliknya BN tidak melonjak hanya kerana kesilapan dan kelalaiannya? Yang lebih menjadi perhatian, siapakah politikus yang akan kecundang? Apa pula doa dan harapan Awang bagi tahun 2010? Semoga negara diselamatkan daripada politikus musang berbulu ayam - yang berniat jahat, menjadi alat pihak asing dan yang mahu merungkai Perlembagaan negara.
Tulisan Awang Selamat-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment