Friday, June 26, 2009

UMNO masih buka pintu

UMNO masih membuka pintu kepada Pas untuk berunding mengenai kerajaan perpaduan meskipun ia telah ditolak oleh pakatan pembangkang.
Ketua Penerangannya, Ahmad Maslan berkata, sebagai parti yang menjaga kepentingan orang Melayu dan negara, UMNO sentiasa mengamalkan dasar buka pintu terhadap apa jua cadangan yang mampu membawa kebaikan.
Justeru katanya, selari dengan pandangan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap tidak semua pemimpin Pas menolak kerajaan perpaduan seperti yang dicanangkan, UMNO tidak pernah menganggap cadangan itu sudah terkubur.
“Kita sudah semakin hampir kepada satu hasrat mulia yang mampu membawa kebaikan kepada semua, bukan sahaja orang Melayu, malah kepada seluruh warganegara.
“Meskipun cadangan itu tampak malap, namun kita percaya, setiap hasrat mulia pasti akan berjaya akhirnya dan ia diperkuatkan lagi dengan tidak semua pemimpin Pas kelihatan menolak cadangan kerajaan perpaduan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

sumber: Utusan Malaysia Online.

Komen WR: Tertarik dengan kenyataan Naib Presiden UMNO Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kerajaan perpaduan apabila Pakatan Pembangkang menolak idea tersebut. Zahid berkata bila kita menghulurkan tangan untuk bersalaman, tiba-tiba orang tersebut menampar kita, kita tidak menampar balas, tetapi kita tanya mengapa menampar kita?
Betapa baiknya orang UMNO ni, masih berbaik-baik dengan orang yang menganggap UMNO musuh utama mereka. Walaupun PAS membuat kenyataan bahawa kerajaan perpaduan adalah fitnah UMNO, UMNO masih lagi mahu mencuba untuk terus berbincang dengan PAS. Terdesak sangatkah UMNO sehingga masih lagi memujuk PAS, adakah UMNO merasakan orang Melayu sudah tidak menyokong parti itu tetapi memilih PAS sebagai wadah perjuangan mereka?
Kalau kita mahu melihat dari sudut itu, itulah jawapan yang kita akan terima dan akan bersetuju. Tetapi kita harus melihat lebih dalam dari sudut sempit itu, servival orang Melayu yan harus kita pentingkan dalam menghadapi gelombang globalisasi yang semakin ganas. Gelombang ini bukan sahaja membawa kemajuan tetapi gelombang ini sebenarnya satu lagi proses meruntuhkan Islam di era milenium ini. Kaedah yang sama pernah digunakan untuk menjatuhkan kerajaan Islam Andalusi dan Turki.
Kita juga sering menyalahkan PAS dalam hal ini, tetapi apakah UMNO telah menunjukkan sikap mahu menguatkan orang Melayu, kerana hujah yang dimainkan oleh penentang kerajaan pepaduan adalah, UMNO ingin meneruskan penguasaan mereka dalam kerajaan bagi memastikan "orang UMNO terus hidup". Faktor ini masih lagi menjadi-jadi dalam UMNO, orang UMNO sendiri yang tidak pernah mahu menunjukkan sikap mashu berubah, masih lagi mengejar kemewahan hidup, kedekut dengan rakyat setelah menjadi kaya-raya, sombong dan tidak boleh bergaul dengan rakyat.
Sehingga hari ini, UMNO masih belum menunjukkan perubahan yang positif yang boleh meyakinkan rakyat dan mereka yang bersimpati atau mengangguk kepada PAS. Saya yakin dan percaya jika perubahan ketara dilakukan, rakyat akan melihat dan sudah tentu mereka akan mendesak PAS untuk bersama dengan UMNO semula. WR.

No comments:

Post a Comment